Header Ads

10 Tip Bajet Perkahwinan Tidak Perlu Untuk Anda Buat Pinjaman


10 Tip Bajet Perkahwinan Tidak Perlu Untuk Anda Buat Pinjaman

1- Mengadakan majlis di luar musim. Boleh dikatakan 70 peratus perkahwinan berlangsung di antara Oktober dan Disember setiap tahun kerana cuti panjang persekolahan. Berdasarkan aturan permintaan dan bekalan, pada waktu inilah harga barangan dan perkhidmatan berkaitan perkahwinan paling tinggi, sama ada sewa dewan, katering, tukang jahit atau pelamin. Pilih bulan yang bukan musim cuti.

2- Harga makanan dan katering. Makanan dan upah katering antara belanja paling besar dalam majlis perkahwinan. Pastikan anda mendapatkan katerer yang disyorkan rakan atau saudara mara untuk mendapat perkhidmatan dan makanan baik setara harga bayar. Rancang jumlah yang hendak ditempah dengan teliti.

3- Adakan majlis di lokasi sewa rendah. Jika anda bukan jenis berkira sangat lokasi dewan persandingan, anda boleh menjimatkan belanja. Jika perlu, adakan majlis di rumah, tetapi pastikan kosn khemah, kerusi meja dan pencahayaan tidak melebihi kadar sewa dewan lengkap.

4- Jahit sendiri sulaman manik. Menyewa pakaian boleh menjimatkan belanja, tetapi jika anda mahu menempahnya, beli fabrik dan tempah pakaian asas. Kemudian buat sendiri sulaman manic dan labuci, inilah yang menjadikan pakaian pengantin mahal.

5- Hias sudut strategik. Membelanjakan wang untuk menghias segenap sudut rumah anda untuk majlis perkahwinan tidak berbaloi. Tetamu hanya hadir di pelamin dan khemah. Pastikan hiasan anda bertumpu di sudut strategik sahaja agar tidak menambah beban kewangan.

6- Pilih bunga tempatan. Bunga dan perhiasan hasil tempatan lebih murah, terutamma jika anda memberitahu kedai bunga berkenaan yang anda mahu berjimat. Bandingkan harga terlebih dahulu di kedai berlainan. Elak membeli ros dan orkid, pilih bunga yang kembang lama.

7- Pilih tema majlis. Menetapkan tema untuk majlis anda boleh menjimatkan belanja. Pilih warna yang tertentu dan gunakan di seluruh ruang. Begitu juga dengan pakaian ahli keluarga. Fabrik yang sama boleh dibeli dengan harga lebih rendah jika kuantiti banyak.

8- Manfaatkan bakat ahli keluarga dan rakan.usah malu memberitahu sahabat handai dan saudara mara yang anda mahu berjimat. Mereka mungkin menawarkan kepakaran untuk memeriahkan majlis, misalnya mengesyorkan kedai harga murah, membantu mereka bentuk kad jemputan atau sukarela tampil sebagai pengacara.

9- Senarai tetamu. Mungkin tidak sedap didengar tetapi cara terbaik mengurangkan belanja ialah memendekkan senarai jemputan, terutama jika majlis diadakan di hotel. Jemput yang rapat dan perlu sahaja.

10- Mengurus masa, alat paling penting menjimatkan kos. Pakar perancang perkahwinan mensihatkan anda merancang masa untuk mengelak peningkatan kos. Jika majlis diurus dengan betul, anda boleh melakukan banyak perkara sendiri termasuk mengendali jemputan, menghantar kad dan menghias.

Semoga tips ini membantu anda di dalam urusan perkahwinan, semoga kekal bahagia hingga ke akhir waktu.

No comments